mcmc
Sejarah

SEJARAH

Sejarah Debak selalunya dikaitkan dengan sejarah Saribas. Hal ini kerana, Debak adalah sebuah daerah di Saribas. Saribas telah wujud pada tahun 1846 lagi apabila Datuk Bandar Amit seorang yang berketurunan Raja Brunei yang mentadbir Saribas ketika itu. Beliau selalu berulang alik dari Brunei dan Saribas atas urusan perdagangan. Di ceritakan juga bahawa Datuk Bandar Amit telah berkahwin dengan seorang gadis Iban yang berasal dari Batang Rimbas yang dikenali sebagai Ijah setelah memeluk Islam. Menceritakan sejarah Batang(Sungai) Rimbas, ia adalah salah satu cabangan daripada Batang Saribas. Batang Saribas mempunyai dua cabangan iaitu Batang Rimbas yang menganjur ke Daerah Debak dan Batang Sebelah Kanan yang menganjur ke Daerah Spaoh. Mengikut penceritaan, pada zaman dahulu,penempatan pertama masyarakat Debak adalah sekitar tahun 1881 terdapat tiga buah keluarga yang mendiami muara Sungai Rebak.kini, kawasan tersebut dikenali sebagai Kampung Debak Laut. Sungai Rebak adalah merupakan sebatang sungai kecil daripada aliran Batang Rimbas. Rebak telah wujud pada zaman pemerintahan Datuk Bandar Amit lagi. “Rebak” menurut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka membawa maksud “kayu hanyut”. Rebak ini dibuang ke dalam sungai untuk menghalang kemaraan pihak musuh pada zaman itu daripada menakluki Saribas yang menyerang menggunakan jalan air. Oleh kerana bimbang akan serangan pihak musuh, penempatan pertama ini telah berpindah ke tempat yang lebih selamat dan jauh daripada sungai. Pada tahun 1891, mereka berpindah ke kawasan yang dikenali sebagai Tanjung Maling. Akan tetapi, mereka menamakan kampung mereka sebagai “Rebak”. Namun, oleh kerana kesilapan ejaan semasa pendaftaran nama kampung, nama “Rebak” tertukar kepada ejaan “Debak”.