Penduduk Kampung Bungey Hilir terlibat dalam industri IKS (Industri Kecil dan Sederhana). Melalui industri ini mereka dapat menjana pendapatan sampingan disamping mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Sebagai contoh, mereka menjalankan perniagaan penghasilan makanan tradisional seperti kuih Sepit, Mee Kuning, Kuih Bahulu dan gubahan bunga.
Puan Dewa Binti Husaini (Perusahaan Makanan Tradisional)
Puan Dewa Binti Husaini merupakan seorang usahawan IKS yang berjaya di Kampung Lalang Hulu. Walaupun beliau seorang buta huruf, namun berbekalkan semangat yang ada dan bimbingan yang berterusan daripada pihak KEMAS dan ahli keluarga, beliau telah berjaya meluaskan perniagaan beliau ke Kuching, Sibu, Johor dan seterusnya ke Singapura.
Selain daripada Kuih Sepit, beliau juga mengusahakan penghasilan makanan lain seperti Muruku, Bahulu dan Sagon.
Puan Dewa Binti Husaini bersama produk jualannya, Kuih Sepit. Beliau berjaya memperolehi keuntungan sebanyak
RM3000.00 dalam masa 2 minggu apabila menerima tempahan untuk musim perayaan.
Acuan Kuih Sepit yang dugunakan oleh Puan Dewa dalam menghasilkan jualannya.
Oven pembakar dibekalkan oleh pihak KEMAS kepada beliau untuk memudahkan perniagaan beliau.
Dayang Safia Binti Abg Mentaril (Jahitan)
Walaupun sudah berkecimpung dalam perkhidmatan menjahit sejak 13 tahun yang dahulu, beliau masih gagah dan bersemangat dalam menjalankan aktiviti ini. Beliau sudah dikenali oleh orang tempatan kerana memiliki kemahiran menjahit dan memotong kain yang kemas dan teliti. Beliau sering dijadikan tumpuan apabila musim perayaan semakin hampir. Beliau mengambil tempahan membuat pakaian tidak kira apapun jua fesyen dan jenis kain. Beliau juga menerima tempahan dari sekolah-sekolah di kawasan Debak mahupun daerah lain seperti Sri Aman dan Spaoh malahan sehingga ke Kuching dan Niah. Beliau mengambil upah untuk menjahit pakaian seperti baju kurung biasa, baju kurung moden, baju melayu, cheongsam dan pelbagai lagi. Harga yang berpatutan yang ditawarkan juga telah menarik ramai pelanggan untuk terus kekal memilih beliau sebagai tempat membuat baju. Caj yang dikenakan untuk setiap pakaian adalah berpatutan. Sebagai contoh, kurung biasa RM28.00, Kurung Fesyen, Baju Melayu dan hiasan berharga RM30.00 Puan Safia sudah mempunyai pelanggan tetap dari kalangan penjawat awam, surirumah dan remaja. Hasil pendapatan beliau daripada mengambil upah menjahit untuk musim perayaan sahaja sudah mencecah RM3000.00 pada musim perayaan seperti Hari Raya Puasa. Beliau disokong sepenuhnya oleh ahli keluarga, dan oleh sebab itu, beliau sentiasa mendapat tempahan setiap hari.
Puan Safia tekun menyiapkan tempahan pelanggan
Dayang Ramlah Binti Abang Sazali (Andaman Perkahwinan dan Solekan)
Mula bergiat dalam bidang Andaman dan jahitan semenjak 2000 lagi secara kecil-kecilan sehingga pada tahun 2004 dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian atau WEDA, beliau mulai serius didalam bidang ini. Berbekalkan kemahiran yang diperolehi dan mewarisi kehebatan ibunya didalam mengandam, beliau tidak kekok dalam menyesuaikan diri dan bersaing dengan mak andam yang sedia ada. Beliau banyak menghadiri kursus-kursus berkaitan dengan bidang ini pada peringkat awalnya. Sebagai contoh, Kursus Usahawan yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian semasa Hari Peladang Jaya 2004. Dengan bantuan modal awal daripada pihak Jabatan Pertanian sebanyak RM60, 000.00 untuk mendirikan premis untuk beroperasi, ia menjadi satu batu loncatan kepada beliau dalam mengukuhkan lagi perniagaan beliau. Tetapi oleh kerana masalah keluarga yang timbul, premis yang sudah siap dibina di Kampung Bungey itu terpaksa dirobohkan atas ketidakpuasan hati orang lain. Beliau merasa kecewa pada mulanya, namun dengan dorongan daripada ahli keluarga, beliau bangkit semula memulakan perniagaan dari rumah. Caj perkhidmatan yang masih berpatutan menjadikan beliau menjadi tumpuan dan pilihan para bakal pengantin. Hal ini kerana beliau masih menetapkan caj perkhidmatan barangan pelamin, baju persandingan, gubahan hantaran, solekan masih berharga RM700.00 sehingga RM800.00 sahaja. Sifat beliau yang mudah dibawa berbincang menarik minat pelanggan dari Debak sendiri ,Sarikei, Sibu, Igan dan Betong menggunakan khidmat beliau.
Antara koleksi baju pengantin yang dijahit sendiri oleh Puan Dayang